Penulisan blog ini adalah bertujuan untuk memenuhi tugasan yang diberikan dan untuk dinilai bagi kursus SIW505 Epistemologi dan Tasawur Islam program Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam). Walaubagaimanapun kandungan yang ditulis boleh dimanfaatkan untuk semua dalam menjalani kehidupan seharian. Penulisan ini lebih memfokuskan tentang ikhlas dan isunya dalam pengajaran dan pembelajaran, kerana saya melihatnya dari aspek saya sendiri sebagai seorang pengajar dan juga pelajar. Saya memulakan penulisan ini dengan memuatkan isu kepentingan keikhlasan di mana pada awal penulisan saya menekankan tentang konsep ikhlas yang meliputi pengertian, syarat dan penghalang ikhlas. Seterusnya saya menyelitkan satu kisah yang menarik untuk dikongsi agar lebih memahami konsep ikhlas. Penulisan ini diteruskan dengan membincangkan isu ikhlas dalam pengajaran dan pembelajaran yang membabitkan pengajar dan pelajar itu sendiri dan diakhiri dengan sedikit kesimpulan.
Ikhlaskah Kita?
Rukun sesuatu ibadat atau amal kebajikan untuk diterima oleh Allah ialah yang pertama hendaklah kita mengikut sunnah atau cara Rasulullah s.a.w dan yang kedua ialah disertakan keikhlasan dalam melakukan ibadah atau amal kebajikan tersebut, sebanyak manapun ibadah atau amal kebajikan yang kita lakukan jika salah satu syarat tersebut tiada maka semuanya akan menjadi sia-sia dan tiada nilai disisi allah, begitulah antara isi kuliah yang saya pernah hadiri suatu ketika dahulu dan InsyaAllah akan selalu saya jadikan pedoman buat diri saya, keluarga dan akan terus saya sampaikan kepada anak-anak murid saya. Saya sertakan serba-sedikit mengenai pengertian ikhlas yang saya baca dari majalah Solusi Isu 11 untuk panduan kita bersama.
Pengertian Ikhlas
Dari segi epitemologi bermaksud menjernihkan sesuatu atau membersihkannya. Dari segi istilah pula, menjadikan Allah s.w.t sebagai satu-satunya tujuan dalam segala amalan. Di sini boleh lah kita fahami maksud ikhlas ialah apa jua kebaikan atau amalan yang kita lakukan adalah untuk Allah semata-mata.
Syarat Ikhlas
Tiada siapa dapat mengukur tahap keikhlasan seseorang, kerana yang mengetahuinya hanyalah Allah dan ia termasuk perkara ghaib dan rahsia Allah. Tetapi antara penanda aras yang boleh digunakan menilai tahap keikhlasan diri kita untuk memuhasabah diri ialah:
1) Tiada kepentingan. Orang ikhlas tidak melekukan sesuatu untuk mendapat balasan.
2) Tidak terkesan dengan pujian atau celaan asalkan apa yang dikerjakan mematuhi syarak dan niatnya benar.
3) Tidak memilih-milih amalan samada kecil atau besar yang diketahui orang atau tidak. Kerana tiada yang kecil pada pandangan Allah dan yang kecil hanyalah amalan yang tidak ikhlas.
4) Tidak putus asa dan kecewa. Orang yang ikhlas tidak mengharapkan apapun dan daripada siapapun. Kenikmatan baginya bukan cara mendapatkannya tapi apa yang diberikan atau dilakukan. Sebaliknya orang yang tidak ikhlas akan selalu kecewa dalam hidup, kerana banyak menyandarkan harapan kepada orang lain.
Penghalang Ikhlas
Dalam artikel yang lain, saya juga ada membaca mengenai beberapa perkara yang menyebabkan terjadinya penghalang kepada ikhlas. Artikel itu menyatakan bahawa sifat ikhlas yang ada pada seseorang akan terhakis jika salah satu atau lebih penyakit hati ada pada seseorang itu. Pertama riak iaitu melakukan sesuatu pekerjaan dengan niat menunjuk-nunjuk dan mempamerkan sifat-sifat terpuji dengan tujuan mendapat pujian, penghargaan, dan sebagainya. Kedua ujub iaitu berasa bangga diri atau kagum terhadap kelebihan diri sendiri dan ketiga sum’ah iaitu melakukan sesuatu amal kebajikan untuk kemasyhuran dan menjadi sebutan orang. Kita mohon pada Allah semoga dijauhkan daripada sifat-sifat sebegini. Nauzubillah.
Kisah Ahli Abid dan Iblis
Berkaitan dengan ikhlas ada cerita yang masyhur yang pernah saya dengar sewaktu menghadiri kuliah semasa belajar dahulu iatu antara seorang abid (ahli ibadah) dengan iblis. Kisah nya seperti berikut, pada suatu hari ahli abid tersebut telah mendapat tahu ramai orang telah menyembah pokok untuk mendapatkan sesuatu hajat. Maka ahli abid tersebut berasa marah dan hendak menebang pokok tersebut.
Dalam perjalanan untuk menebang pokok tersebut ahli abid tersebut telah dihalang oleh iblis yang menyerupai seseorang. Lalu berlakulah perkelahian, dalam perkelahian tersebut dengan mudah ahli abid tersebut mengalahkan iblis dan berjaya menebang pokok. Pada hari berikutnya ahli abid tersebut hendak pergi menebang pokok yang lain yang turut disembah orang ramai dan iblis sekali lagi menghalang ahli abid sambil merayu. Iblis berjanji akan memberikan wang emas setiap hari kepada ahli abid tersebut yang akan diletakkan dibawah bantal dengan syarat ahli abid tersebut tidak menebang pokok tersebut. Mendengar tawaran tersebut ahli abid bersetuju dan pulang. Pada hari pertama dan kedua memang didapati wang emas ada di bawah bantalnya, tetapi pada hari ketiga ahli abid mendapati tiada wang emas di bawah bantalnya.
Ahli abid berasa marah dan ingin meneruskan niatnya untuk menebang pokok tersebut. Seperti sebelumnya dipertengahan jalan iblis menghalanginya lagi. Kedua-duanya berkelahi. Tetapi dengan mudah iblis mengalahkan ahli abid tersebut. Lalu ahli abid bertanya kepada iblis kenapa hari ini aku kalah kepada mu? Iblis menjawab “kamu kalah kerana kamu hendak menebang pokok kerana wang dan kamu menang tempoh hari kerana niatmu ikhlas menebang pokok tersebut kerana Allah". Jadi di sini dapatlah diambil pengajaran bahawa tanpa sifat ikhlas kita mudah dikalahkan atau diperdaya oleh syaitan dan Allah juga telah mengabadikan ucapan iblis di dalam al-Quran. “Ya Tuhanku oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas”. Surah al-Hijr ayat 39-40.
Rasulullah s.a.w juga ada mengingatkan kita dalam hadithnya yang di rekodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud “Sesiapa yang berbuat kebaikan dengan niat supaya diketahui oleh orang lain, nescaya Allah akan membuat orang lain mengetahuinya (dan hanya itulah balasannya). Sesiapa yang berbuat kebaikan dengan niat dengan niat supaya di lihat oleh orang lain, nescaya Allah akan membuat orang lain melihatnya (dan hanya itulah balasannya).
Ertinya jika kita berbuat sesuatu untuk diketahui oleh orang lain atau pujian ia tiada nilai disisi Allah dan hanya pujian atau kemasyhuran yang kita perolihi tanpa ada saham yang kita bawa ke akhirat kelak.

Imam Muslim pula meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya “Sesungguhnya Allah tidak akan melihat kepada tubuh badan dan tidak pula kepada rupa bentuk kamu. Akan tetapi, Dia akan melihat kepada keikhlasan hati kamu”.
Dapat kita simpulkan dari hadith di atas perkara yang dinilai oleh Allah adalah keikhlasan seseorang dan bukan selain itu.
Guru, Pelajar dan Ikhlas
Kepincangan dalam pendidikan adalah antara punca utama lahirnya masyarakat yang rosak akhlak. Tiadanya keberkatan ilmu menyebabkan ilmu tidak dapat diaplikasikan oleh pelajar. Proses pembelajaran memainkan peranan yang penting dalam pembangunan pelajar, jika proses pembelajaran tidak melibatkan hati yang ikhlas, maka natijahnya ilmu yang diajar hanya sampai ke akal sahaja dan tidak turun ke hati menyebabkan ianya tidak dapat di amalkan. Guru-guru yang hanya mementingkan kenaikan pangkat atau imbuhan gaji semata-mata juga pastinya tidak akan berjaya dalam membentuk akhlak pelajar walaupun cemerlang akademiknya.
Guru atau tenaga pengajar perlulah menghindarkan diri dari hanya mementingkan kenaikan pangkat, imbuhan gaji, menjaga prestasi institusi masing-masing atau kepentingan peribadi lain yang menyebabkan ilmu yang disampaikan tidak meresap ke hati pelajar. Seterusnya gagal dalam membentuk akhlak pelajar walaupun cemerlang akademiknya.
Pembelajaran yang bukan dari hati ke hati menyebabkan lahir murid yang bijak tetapi rendah akhlaknya. Niat merupakan elemen yang sangat penting dalam menuntut ilmu, jika ia diabaikan dan hanya mensasarkan “A” semata-mata dan bukan kerana Allah (tiada keikhlasan) menyebabkan tiada keberkatan. Pelajar hanya boleh mengaplikasikan di kertas jawapan tetapi gagal diterjemahkan dalam bentuk perbuatan. Kesan ketidakikhlasan ini dapat kita saksikan di institusi persekolahan pada hari dengan kes-kes yang melibatkan pelajar cemerlang akademik tetapi turut terjebak dengan masalah disiplin.
Dalam teknik pengajaran sekurang-kurangnya ada dua elemen penting perlu diberikan perhatian iaitu akal dan hati. Akal berperanan menerima apa yang disampaikan dan boleh diukur seperti markah, gred dan sebagainya, manakala hati akan memandu ilmu yang diperolehi. Antara pendekatan yang boleh dilaksanakan untuk mendidik hati ialah dengan memberi tazkirah atau peringatan semasa sesi pembelajaran yang berkaitan ilmu yang dipelajari, membaca tafsir dan hadis atau apa sahaja yang boleh memberi pengajaran dan menjadikan hati menjadi lembut seterusnya akan membangunkan peribadi yang baik dan menggunakan ilmu yang diperolehi ke jalan yang diredhai Allah.
Rasulullah ada mengingatkan kita dalam hadithnya yang bermaksud “Ketahuilah bahawa di dalam tubuh ada segumpal daging, jika ia baik seluruh tubuh akan baik jika ia rosak seluruh tubuh akan rosak. Ketahuilah bahawa itulah hati” riwayat Bukhari dan Muslim.
Ini bermana jika peranan hati diabaikan ianya akan memberi kesan kepada tubuh atau akhlak seseorang Jika hati seorang guru dan pelajarnya terdapat sifat mazmumah yakni (terkeji) seperti sombong, riak dan ujub seperti yang dinyatakan sebelum ini ditambah pula tiada landasan syariat maka ia mungkin menjadi faktor utama ilmu yang diperolehi disalahgunakan dan natijahnya lahirlah masyarakat yang tidak seimbang dan rendah akhlaknya.

Maka kesepaduan akal dan hati dalam proses pengajaran dan pembelajaran amat penting. Hati yang bersih menyebabkan Allah akan memberi petunjuk kepada hamba-hambanya melalui lahirnya akhlak yang mulia, bercakap benar, menjaga batasan aurat dan pergaulan yang mana hidayah (petunjuk) tersebut tidak dapat diperolehi dari hati yang kotor.
Dalam penyebaran dan menuntut ilmu ia perlulah didasari dengan keikhlasan dan menggunakan kaedah hati ke hati yang InsyaAllah dapat membangunkan manusia yang bersepadu dan seimbang akal dan akhlak, dan seterusnya dapat membendung masalah remaja sekarang ini.
Implikasi tidak ikhlas
Kebelakangan ini, banyak isu-isu pendidikan yang terjadi dalam negara kita. Antara punca kepada semua permasalahan ini adalah disebabkan ketidakikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing samada bagi pihak guru, pelajar mahupun pengurusan. Antara kes-kes yang berlaku seperti berikut:
1 ) Tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor di Bintangor, dalam Bahagian Sarikei, tidak dibenarkan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana mereka dianggap lemah dan dibimbangi boleh menjejas prestasi keseluruhan sekolah itu. Ketiga-tiga murid lelaki terbabit, Idie Ganyol, Edward Ujoh Augustine dan Richmend Mangi dikurung di bilik pemulihan sekolah, sementara rakan sekelas lain menduduki peperiksaan berkenaan pada 13 dan 14 September lalu. Mereka hanya dibenarkan menduduki peperiksaan pada 15 September, iaitu pada hari terakhir UPSR, selepas ibu bapa mereka membuat aduan kepada polis.
2) Seorang pelajar tingkatan tiga yang akan menghadapi peperiksaan PMR telah dengan tiba-tiba meluru ke bilik guru untuk menyerang guru-guru dengan sebatang kayu di Sek Men Keb Indera Mahkota 2 di Kuantan, Pahang pada 29 Sep 2011 dipercayai akibat stres untuk mendapat keputusan peperiksaan yang lebih baik.
3) Masalah stres atau tekanan di kalangan pelajar amatlah membimbangkan sehingga satu kajian yang dipanggil “Program Minda Sihat” diadakan oleh Kementerian Kesihatan bertujuan menjalankan pemeriksaan kesihatan mental bagi gejala-gejala kemurungan, kebimbangan dan tekanan di enam buah sekolah menengah. Dan kajian menunjukkan bilangan orang yang mendapatkan rawatan perubatan untuk kesihatan mental adalah 10.6 peratus pada tahun 1996 tetapi meningkat kepada 11.2 peratus pada 2006 dengan 6.4 peratus turut melibatkan kes bunuh diri. Mereka yang mendapatkan rawatan adalah antara usia 16-19 tahun.
Apa yang dinyatakan di atas adalah antara contoh dan akibat daripada ketidakikhlasan dalam pendidikan samada guru, pelajar dan kedua-duanya. Dalam kes pertama mungkin guru atau pentadbir sekolah ingin menjaga prestasi sekolah sehingga mengabaikan pelajar. Kecenderungan untuk menjaga prestasi sekolah lebih menjadi keutamaan berbanding keikhlasan dalam mendidik anak bangsa. Mangsanya adalah pelajar-pelajar yang lemah itu sendiri, di mana pelajar yang lemah akan dibiarkan terus lemah dan tumpuan hanyalah kepada pelajar cemerlang semata-mata. Di manakah nilai keikhlasan dalam kes-kes seperti ini? Kejadian sebegini bukanlah hanya berlaku disekolah tersebut sahaja, mungkin ada juga sekolah-sekolah lain yang turut terlibat. Oleh itu, dapatlah kita lihat di sini peranan ibubapa amat penting dalam memantau prestasi anak-anak. Usaha yang lebih seperti ke kelas tuisyen amatlah penting dalam memastikan anak-anak tidak tercicir begitu saja.

Manakala kes kedua pelajar yang hanya mengejar gred semata-mata dan tidak diterapkan dengan elemen-elemen ikhlas dalam pembelajaran menyebabkan mereka merasakan bahawa pencapaian terbaik itu sahaja yang hendak dicapai. Mereka tidak mengetahui bagaimana cara untuk menghormati dan menjaga ilmu yang dimiliki itu dimana ianya turut melibatkan penjagaan penyampainya iaitu dengan hormat dan sayangkan guru. Apa yang lebih teruk lagi, kesan dari itu akan melahirkan para pelajar seperti dalam kes yang ketiga itu seperti kemurungan, tekanan dan sebagainya. Tidak ada unsur-unsur redha dalam diri mereka yang menyebabkan mereka hanya berfikir separuh jalan. Penerapan elemen ikhlas amat penting supaya pelajar, guru dan pentadbir dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing sebaik mungkin di bumi Allah ini dan manjadi khalifah Allah yang cemerlang. InsyaAllah.
Kesimpulan
Keikhlasan amat penting dalam setiap amalan untuk meraih redha Allah dan perkongsian ini adalah sebagai peringatan dan landasan terutama kepada penulis agar sentiasa melatih diri dan memotivasikan diri agar sifat ikhlas menjadi tunjang dalam setiap perkara yang dilakukan. Pemantapan sifat ikhlas juga sangat penting untuk dijadikan sebagai jalan penyelesaian terhadap pelbagai masalah remaja dewasa ini. Jika setiap anggota masyarakat menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan disertakan sifat ikhlas samada pelajar, pengajar dan apa sahaja status kita, InsyaAllah Allah akan melorongkan jalan penyelesainya. Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment