Tuesday, 4 October 2011

ikhlas


Kita selalu menganggap sesuatu yang berharga adalah seperti kereta, rumah, wang, tanah ladang dan sebagainya adalah sesuatu yang berharga. Tetapi pada “pandangan” Allah sesuatu yang berharga ialah keikhlasan atau niat seseorang melakukan sesuatu perkara.
Allah swt mengingatkan :-
Ertinya : Katakanlah: "Sesungguhnya aku diperintahkan supaya mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama ( Az-Zumar : 11)

Nabi s.a.w pula bersabda
Ertinya : Sesungguhnya Allah swt tidak akan menerima amalan kecuali apa yang dibuat dalam keadaan ikhlas, berkeinginan kepada wajahNya ( Al-Bukhari)
Setiap perbutan bergantung kepada niat. Bagaima caranya kita hendak menjadikan niat kita menjadi ikhlas?. Pertama kita harus tumpukan fikiran dan apa yang kita hendak lakukan hanya untuk Allah, bukan untuk menunjuk-nunjuk,untuk mendapat perhatian dan sebagainya. Berusahalah supaya setiap amalan kita yang menilainya hanya Allah.
Kita tidak perlu mengharapkan balasan daripada makhluk kerana makhluk sifatnya lemah dan memerlukan sesuatu untuk menyempurnakan hajatnya. Contohnya jika kita melakukan sesuatu pekerjaan dan berharap untuk mendapat penghargaan atau pujian. Kita akan berasa kecewa jika tidak diberi penghargaan tersebut atau pujian tersebut. Jika kita berbuat sesuatu kita sandarkan kepada Allah insyaallah kita tidak akan kecewa atau berputus asa kerana Allah maha segala.

Maksud Ikhlas
Memang mudah untuk melafazkan kata ikhlas, mudah juga untuk cuba menyakinkan diri bahawa diri ikhlas dalam menuntut ilmu contohnya, namun untuk benar-benar memastikan hati sentiasa istiqamah ikhlas kepada Allah swt, ia bukan satu tugas yang mudah, namun ia maha penting dan penentu masa depan kita tatkala berdepan dengan Allah swt kelak.
Menurut Saidina Ali ikhlas ialah apabila pujian tidak menyebabkan  kau menambah amal, dan kejian manusia tidak menyebabkan kau mengurangkannya. Di hadapan dan di belakang manusia ibadahmu tetap sama. Saya juga pernah terbaca bahawa rukun untuk diterima sesuatu ibadah haruslah mempunyai niat yang ikhlas kerana Allah dan sesuatu ibadah tersebut mengikut cara yang diajarkan Rasulullah S.A.W
Kelebihan Ikhlas
Allah swt akan menganugerahkan beberapa sikap dalam hidup orang yang bersikap ikhlas
1.       Tiada kepentingan. Orang ikhlas tidak  melekukan sesuatu untuk mendapat balasan
2.       Tidak ditipu oleh syaitan. Seperti ucapan iblis dalam al-Quran “pasti aku akan menyesatkan mereka (manusia) semuanya, kecuali hamba-hambamu yang ikhlas" al-Hijr 39-40
3.       Tidak terkesan dengan pujian atau celaan asalkan apa yang dikerjakan mematuhi syarak dan niatnya benar
4.       Tidak memilih-milih amalan samada kecil atau besar yang diketahui orang atau tidak. Kerana tiada yang kecil pada pandangan allah dan yang kecil hanyalah amalan yang tidak ikhlas
5.       Tidak putus asa dan kecewa. Orang yang ikhlas tidak mengharapkan apapun dan daripada siapapun. Kenikmatan baginyabukan cara mendapatkannya tapi apa yang diberikan atau dilakukan. Sebaliknya orang yang tidak ikhlas akan selalu kecewa dalam hidup, kerana banyak menyandarkan harapan kepada orang lain
6.       Berasa seronok melakukan amal. Dan istiqamah melakukan beribadat.

Khalid al- Walid
Jika ditelusuri kisah para sahabat mungkin kita dapat renungi bagaimana sifat ikhlas yang dipamerkan oleh para sahabat. Antaranya kisah semasa peperangan Yarmouk.  Semasa pemerintahan Saidina Abu Bakar telah berlaku peperangan Yarmouk dan Khalid Al-Walid dilantik sebagai panglima perang. Menjelang peperangan Khalid al-Walid pun memberi kata-kata semangat kepada tenteranya “ ketahuilah, hari ini adalah hari Allah. Tidak boleh ada kesombongan dan sikap melampaui batas. Ikhlaskanlah niat untuk berjihad dan carilah redha allah dengan amal kalian”
Tidak lama selepas itu datanglah utusan khalifah membawa sepucuk surat dan beliau terus membacanya. Antara isikandungan surat tersebut ialah memaklumkan kewafatan Khalifah saidina Abu Bakar dan jawatan khalifah telah di pegang oleh Saidina Umar r.a.  serta arahan saidina Umar agar jawatan panglima perang diserahkan kepada Abu Ubaidah bin jarrah. Setelah membaca surat tersebut Khalid Al-walid menerima arahan tersebut dan menyerahkan jawatan tersebut kepada Abu Ubaidah tanpa kekecewaan dan berkata “aku tidak berperang untuk Umar. Aku berperang kerana Allah” padahal pada masa tersebut adalah masa keemasan baginya untuk memimpin tentera Muslimin dan beliau berperang habis-habisan.
Begitulah sikap orang yang ikhlas. Begitu mudah menyerahkan jawatan kepada anak buahnya sebelum ini dan berjuang habis-habisan. Ini kerana matlamat perjuangannya adalah kerana allah bukan di sebabkan jawatan.
Kesimpulan
Tulisan ini sebenarnya adalah untuk peringatan diri sendiri khasnya dan sesiapa yang membacanya agar sentiasa memperkemas niat dalam melakukan sesuatu dan ikhlas dalam melakukan sesuatu agar apasaja yang kita laksanakan mempunyai nilai disisi Allah. Ingatlah  yang menentukan sesuatu amal kecil atau besar adalah Allah dan bergantung kepada niat dan keikhlasan kita. Wallahu a’lam.


No comments:

Post a Comment