Saturday, 22 October 2011

Ikhlaskah Kita?

Rukun sesuatu ibadat atau amal kebajikan untuk diterima oleh Allah ialah yang pertama hendaklah kita mengikut sunnah atau cara Rasulullah s.a.w dan yang kedua ialah disertakan keikhlasan dalam melakukan ibadah atau amal kebajikan tersebut, sebanyak manapun ibadah atau amal kebajikan yang kita lakukan jika salah satu syarat tersebut tiada maka semuanya akan menjadi sia-sia dan tiada nilai disisi Allah, begitulah antara isi kuliah yang saya pernah hadiri suatu ketika dahulu dan InsyaAllah akan selalu saya jadikan pedoman buat diri saya, keluarga dan akan terus saya sampaikan kepada anak-anak murid saya. Saya sertakan serba-sedikit mengenai pengertian ikhlas yang saya baca dari majalah Solusi Isu 11 untuk panduan kita bersama.

Erti Ikhlas

Dari segi epitemologi bermaksud menjernihkan sesuatu atau membersihkannya. Dari segi istilah pula, menjadikan Allah s.w.t sebagai satu-satunya tujuan dalam segala amalan. Di sini boleh lah kita fahami maksud ikhlas ialah apa jua kebaikan atau amalan yang kita lakukan adalah untuk Allah semata-mata.

Penghalang Ikhlas

Dalam artikel yang lain, saya juga ada membaca mengenai beberapa perkara yang menyebabkan terjadinya penghalang kepada ikhlas. Artikel itu menyatakan bahawa sifat ikhlas yang ada pada seseorang akan terhakis jika seseorang itu mempunyai  penyakit hati tersebut. Pertama riak iaitu melakukan sesuatu pekerjaan dengan niat menunjuk-nunjuk dan mempamerkan sifat-sifat terpuji dengan tujuan mendapat pujian, penghargaan,  dan sebagainya. Kedua ujub iaitu berasa bangga diri atau kagum terhadap kelebihan diri sendiri dan ketiga sum’ah iaitu melakukan sesuatu amal kebajikan untuk kemasyhuran dan menjadi sebutan orang. Kita mohon pada Allah semoga dijauhkan daripada sifat-sifat sebegini. Nauzubillah.

Kisah Ahli Abid dan Iblis

Berkaitan dengan ikhlas ada cerita yang masyhur yang pernah saya dengar sewaktu menghadiri kuliah semasa belajar dahulu iatu antara seorang abid (ahli ibadah) dengan iblis.  Kisah nya seperti berikut, pada suatu hari ahli abid tersebut telah mendapat tahu ramai orang telah menyembah pokok untuk mendapatkan sesuatu hajat. Maka ahli abid tersebut berasa marah dan hendak menebang pokok tersebut.
Dalam perjalanan untuk menebang pokok ahli abid tersebut telah dihalang oleh iblis yang  menyerupai seseorang. Lalu berlakulah perkelahian, dalam perkelahian tersebut dengan mudah ahli abid tersebut mengalahkan iblis dan berjaya menebang  pokok. Pada hari berikutnya ahli abid tersebut hendak pergi menebang pokok yang lain yang turut disembah orang ramai dan iblis sekali lagi menghalang ahli abid dan membuat tawaran. Iblis berjanji akan memberikan wang emas setiap hari kepada ahli abid tersebut yang akan diletakkan dibawah bantal dengan syarat ahli abid tersebut tidak menebang pokok tersebut. Mendengar tawaran tersebut ahli abid bersetuju dan pulang. Pada hari pertama dan kedua memang didapati wang emas ada di bawah bantalnya, tetapi pada hari ketiga ahli abid mendapati tiada wang emas di bawah bantalnya.
Ahli abid berasa marah dan ingin meneruskan niatnya untuk menebang pokok tersebut. Seperti sebelumnya dipertengahan jalan iblis menghalanginya lagi. Kedua-duanya berkelahi. Tetapi dengan mudah iblis mengalahkan ahli abid tersebut. Lalu ahli abid bertanya kepada iblis kenapa hari ini aku kalah kepada mu? Iblis menjawab “kamu kalah kerana  kamu hendak menebang pokok kerana wang emas dan kamu menang tempoh hari kerana niatmu ikhlas menebang pokok tersebut kerana Allah.  
Jadi di sini dapatlah diambil pengajaran bahawa tanpa sifat ikhlas kita mudah dikalahkan atau diperdaya oleh syaitan. Allah juga telah mengabadikan ucapan iblis di dalam al-Quran yang bermaksud. “Ya Tuhanku oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti  aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas”.   Surah al-Hijr ayat 39-40.
Rasulullah s.a.w juga ada mengingatkan kita dalam hadithnya yang di rekodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud “Sesiapa yang berbuat kebaikan dengan niat supaya diketahui oleh orang lain, nescaya Allah akan membuat orang lain mengetahuinya (dan hanya itulah balasannya). Sesiapa yang berbuat kebaikan dengan niat dengan niat supaya di lihat oleh orang lain, nescaya Allah akan membuat orang lain melihatnya (dan hanya itulah balasannya).  Ertinya jika kita berbuat sesuatu untuk diketahui oleh orang lain atau pujian  ia tiada nilai disisi Allah dan hanya pujian atau kemasyhuran yang kita perolihi tanpa ada saham yang kita bawa ke akhirat kelak.

Imam Muslim pula meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya “Sesungguhnya Allah tidak akan melihat kepada tubuh badan dan tidak pula kepada rupa bentuk kamu. Akan tetapi, Dia akan melihat kepada keikhlasan hati kamu”. 
Dapat kita simpulkan dari hadith di atas perkara yang dinilai oleh Allah adalah keikhlasan seseorang dan bukan selain itu.

Kesimpulan

Keikhlasan amat penting dalam setiap amalan untuk meraih redha Allah dan perkongsian  ini adalah sebagai peringatan dan landasan terutama kepada penulis agar sentiasa melatih diri dan memotivasikan diri agar sifat ikhlas menjadi tunjang dalam setiap perkara yang dilakukan. Pemantapan sifat ikhlas juga boleh dijadikan sebagai jalan penyelesaian terhadap pelbagai masalah sosial  dewasa ini. Jika setiap anggota masyarakat menjalankan tanggungjawab  masing-masing dengan disertakan sifat ikhlas samada pelajar,pengajar dan apa sahaja status kita, InsyaAllah Allah akan melorongkan jalan penyelesainya. Persoalannya ikhlaskah kita dalam perlakuan kita. Wallahu’alam. 

No comments:

Post a Comment