Dakwah
merupakan satu tuntutan dalam agama Islam. Antara hasil dakwah ialah
bertambahnya penganut dan bertambahnya aktiviti ibadah agama Islam. Mengikut
statistik pada tahun 2010, umat Islam di dunia berjumlah 1.5 bilion orang, yang
mewakili 21 peratus penduduk dunia. Di Malaysia jumlah penduduk beragama Islam
seramai 17 juta orang mewakili 61.4 peratus penduduk. Di Malaysia orang yang
baru menganut agama Islam dikenali sebagai mualaf
atau saudara baru. Istilah ini diambil dalam Al-Qur’an daripada perkataan muallafa qulubuhum bermaksud “mereka
yang dijinakkan hatinya” menerangkan tentang asnaf (golongan yang layak menerima zakat) dalam Surah At-Taubah
Ayat 60.
Menurut
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bilangan saudara baru meningkat setiap
tahun di setiap negeri. Sebagai contoh di negeri Pulau Pinang mengikut
statistik yang dikeluarkan Unit Ukhuwah Bahagian Dakwah Majlis Agama Islam
Negeri Pulau Pinang jumlah saudara baru dari tahun 2006 hingga 2011 seramai
1556 orang, iaitu 454 orang berbangsa Cina, 471 orang berbangsa India dan 631
orang mewakili bangsa lain-lain. Ini menunjukkan bahawa agama Islam semakin
berkembang dan diterima oleh bangsa lain.
Setelah
bergelar saudara baru mereka memerlukan ilmu berkaitan agama Islam bagi menjadi
Muslim yang baik dan memenuhi tuntutan agama dalam setiap aspek kehidupan. Ilmu
dalam Islam boleh dibahagikan kepada dua bahagian, pertama ilmu fardu ain dan
kedua ilmu fardu kifayah. Ilmu fardu ain adalah ilmu yang wajib dipelajari dan
diamalkan oleh setiap individu Islam, manakala ilmu fardu kifayah ilmu yang
wajib dipelajari dan diamalkan oleh sebahagian ahli masyarakat. Ilmu fardu ain
pula terbahagi kepada tiga jenis, pertama ilmu tauhid, kedua ilmu fekah dan ketiga ilmu tasawwuf.
Ilmu fardu kifayah pula ilmu yang meliputi ilmu-ilmu seperti ilmu pembangunan,
perundangan, politik, ekonomi, perubatan, perniagaan dan sebagainya.
Pembahagian
ilmu tersebut menunjukkan ilmu Islam meliputi segala aspek. Dalam menguruskan
kehidupan, Islam telah memberi garis panduan seperti pembahagian ilmu sebelum
ini, dan untuk menjadi Muslim yang baik, segala aktiviti yang dilaksanakan sama
ada berkaitan ilmu fardu ain atau ilmu fardu kifayah perlu berlandaskan kepada
ajaran Islam.
Berkaitan
pengurusan dan kebajikan saudara baru di Malaysia, berbagai institusi kerajaan
telah ditubuhkan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pertubuhan
Kemajuan Islam Malaysia (PERKIM), dan Jabatan Agama Islam setiap negeri. Selain
daripada institusi kerajaan ada juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang
terlibat khusus berkaitan saudara baru seperti Angkatan Belia Islam Malaysia
(ABIM), Malaysian Chinese Muslim Association
(MACMA), Persatuan Saudara Islam (Persalam) dan Hidayah Centre.
Melalui
institusi-institusi dan persatuan-persatuan tersebut pelbagai pembangunan
saudara baru dijalankan seperti dakwah, pendidikan, pembangunan ekonomi dan
sebagainya. Walau bagaimanapun, masalah yang dihadapi oleh saudara baru adalah
pelbagai dan memerlukan perhatian daripada setiap Muslim, kerana kebanyakan
saudara baru yang baru memeluk Islam kebiasaannya akan disisih oleh keluarga
dan penganut agama asal mereka setelah memeluk Islam.
Selain
daripada masalah disisih keluarga dan penganut agama asal, masalah utama yang
membelenggu saudara baru adalah untuk mempelajari atau memahami ajaran agama
Islam itu sendiri. Kegagalan saudara baru mempelajari dan memahami ajaran agama
Islam dengan sempurna menyebabkan ramai saudara baru yang murtad atau
mengamalkan gaya hidup yang bertentangan dengan ajaran agama Islam. Oleh yang demikian,
pendekatan pendidikan yang berkesan perlu disalurkan dengan lebih baik lagi
agar dapat membantu membimbing mereka ke jalan yang benar. Untuk menyalurkan
pendidikan yang berkesan terhadap saudara baru, beban tidak harus hanya
diberikan kepada institusi kerajaan atau badan-badan tertentu, tetapi semua
umat Islam haruslah mengambil peranan untuk membantu golongan saudara baru
dalam memahami ajaran Islam.
Antara
kaedah yang dirasakan berkesan untuk menyalurkan pemahaman Islam terhadap
saudara baru adalah aktiviti ziarah. Ziarah bermaksud mengunjugi atau melawat,
kaedah ziarah juga adalah salah satu kaedah Rasulullah SAW menyampaikan ajaran
Islam. Pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam Negeri selain melaksanakan
kelas secara berpusat perlu melakukan ziarah terhadap saudara baru secara
berkala atau memaklumkan kepada orang yang berautoriti seperti imam agar
menziarahi saudara baru yang tinggal dikawasan mereka. Perkara ini juga perlu
dilakukan oleh setiap umat Islam yang menyedari kehadiran saudara baru dimana
sahaja sama ada di tempat kerja, kawasan kediaman, tempat belajar dan
sebagainya. Untuk memastikan aktiviti ziarah ini diambil perhatian oleh umat
Islam, pihak berwajib perlu memainkan peranan agar menyeru umat Islam
malaksanakan pendekatan ini melalui media massa sama ada media cetak atau
elektronik. Dengan wujudnya kesedaran dikalangan umat Islam barulah aktiviti
ini akan berjalan seterusnya dakwah Islam terus berkembang.
Melalui
aktiviti ziarah, saudara baru akan lebih mudah mempelajari agama Islam sama ada
secara langsung atau tidak langsung. Ini kerana, melalui aktiviti ziarah
hubungan saudara baru dengan orang Islam menjadi rapat dan memudahkan saudara
baru berkongsi masalah berbanding melalui kelas formal yang mana kebiasaanya
dibatasi perasaan malu untuk megemukakan persoalan. Selain itu, dengan wujudnya
hubungan dengan orang Islam, saudara baru boleh mempelajari melalui pemerhatian
hasil daripada hubungan dengan orang Islam, seperti dalam aspek adab pemakaian,
penyediaan makanan dan sebagainya.
Selanjutnya
kelebihan ziarah terhadap saudara baru ialah, dapat menghilangkan rasa disisih
oleh keluarga penganut agama asal mereka. Dengan adanya aktiviti ziarah ini,
saudara baru akan berasa dihargai dan berasa tidak tersisih dimana pada waktu
itu mereka amat memerlukan bantuan dan semangat terutama daripada aspek emosi. Oleh
itu, semua pihak haruslah mengambil peranan masing-masing untuk menjalankan
aktiviti ziarah terhadap saudara baru bagi memperkasakan saudara baru dan
mendaulatkan agama Islam amnya.
Saudara baru umpama
duta kecil dalam agama Islam kepada bukan Islam yang lain. Dengan mantapnya
golongan ini boleh menjadi penyebab golongan bukan Islam tertarik kepada agama
Islam. Walaupun statistik menunjukkan bilangan saudara baru meningkat setiap
tahun di Malaysia, jumlah itu masih kecil jika dibandingkan dengan negara lain
khususnya negara Barat, perkara ini mungkin disebabkan kurangnya perhatian
masyarakat terhadap golongan saudara baru menyebabkan bukan Islam kurang
tertarik memeluk agama Islam.
No comments:
Post a Comment