Tuesday, 27 November 2012

Memperkasa Saudara Baru, Tanggungjawab Siapa?


Dakwah merupakan satu tuntutan dalam agama Islam. Antara hasil dakwah ialah bertambahnya penganut dan bertambahnya aktiviti ibadah agama Islam. Mengikut statistik pada tahun 2010, umat Islam di dunia berjumlah 1.5 bilion orang, yang mewakili 21 peratus penduduk dunia. Di Malaysia jumlah penduduk beragama Islam seramai 17 juta orang mewakili 61.4 peratus penduduk. Di Malaysia orang yang baru menganut agama Islam dikenali sebagai mualaf atau saudara baru. Istilah ini diambil dalam Al-Qur’an daripada perkataan muallafa qulubuhum bermaksud “mereka yang dijinakkan hatinya” menerangkan tentang asnaf (golongan yang layak menerima zakat) dalam Surah At-Taubah Ayat 60.
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bilangan saudara baru meningkat setiap tahun di setiap negeri. Sebagai contoh di negeri Pulau Pinang mengikut statistik yang dikeluarkan Unit Ukhuwah Bahagian Dakwah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang jumlah saudara baru dari tahun 2006 hingga 2011 seramai 1556 orang, iaitu 454 orang berbangsa Cina, 471 orang berbangsa India dan 631 orang mewakili bangsa lain-lain. Ini menunjukkan bahawa agama Islam semakin berkembang dan diterima oleh bangsa lain.
Setelah bergelar saudara baru mereka memerlukan ilmu berkaitan agama Islam bagi menjadi Muslim yang baik dan memenuhi tuntutan agama dalam setiap aspek kehidupan. Ilmu dalam Islam boleh dibahagikan kepada dua bahagian, pertama ilmu fardu ain dan kedua ilmu fardu kifayah. Ilmu fardu ain adalah ilmu yang wajib dipelajari dan diamalkan oleh setiap individu Islam, manakala ilmu fardu kifayah ilmu yang wajib dipelajari dan diamalkan oleh sebahagian ahli masyarakat. Ilmu fardu ain pula terbahagi kepada tiga jenis, pertama ilmu tauhid,  kedua ilmu fekah dan ketiga ilmu tasawwuf. Ilmu fardu kifayah pula ilmu yang meliputi ilmu-ilmu seperti ilmu pembangunan, perundangan, politik, ekonomi, perubatan, perniagaan dan sebagainya.
Pembahagian ilmu tersebut menunjukkan ilmu Islam meliputi segala aspek. Dalam menguruskan kehidupan, Islam telah memberi garis panduan seperti pembahagian ilmu sebelum ini, dan untuk menjadi Muslim yang baik, segala aktiviti yang dilaksanakan sama ada berkaitan ilmu fardu ain atau ilmu fardu kifayah perlu berlandaskan kepada ajaran Islam.  
Berkaitan pengurusan dan kebajikan saudara baru di Malaysia, berbagai institusi kerajaan telah ditubuhkan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pertubuhan Kemajuan Islam Malaysia (PERKIM), dan Jabatan Agama Islam setiap negeri. Selain daripada institusi kerajaan ada juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat khusus berkaitan saudara baru seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA), Persatuan Saudara Islam (Persalam) dan Hidayah Centre.
Melalui institusi-institusi dan persatuan-persatuan tersebut pelbagai pembangunan saudara baru dijalankan seperti dakwah, pendidikan, pembangunan ekonomi dan sebagainya. Walau bagaimanapun, masalah yang dihadapi oleh saudara baru adalah pelbagai dan memerlukan perhatian daripada setiap Muslim, kerana kebanyakan saudara baru yang baru memeluk Islam kebiasaannya akan disisih oleh keluarga dan penganut agama asal mereka setelah memeluk Islam.
Selain daripada masalah disisih keluarga dan penganut agama asal, masalah utama yang membelenggu saudara baru adalah untuk mempelajari atau memahami ajaran agama Islam itu sendiri. Kegagalan saudara baru mempelajari dan memahami ajaran agama Islam dengan sempurna menyebabkan ramai saudara baru yang murtad atau mengamalkan gaya hidup yang bertentangan dengan ajaran agama Islam. Oleh yang demikian, pendekatan pendidikan yang berkesan perlu disalurkan dengan lebih baik lagi agar dapat membantu membimbing mereka ke jalan yang benar. Untuk menyalurkan pendidikan yang berkesan terhadap saudara baru, beban tidak harus hanya diberikan kepada institusi kerajaan atau badan-badan tertentu, tetapi semua umat Islam haruslah mengambil peranan untuk membantu golongan saudara baru dalam memahami ajaran Islam.
Antara kaedah yang dirasakan berkesan untuk menyalurkan pemahaman Islam terhadap saudara baru adalah aktiviti ziarah. Ziarah bermaksud mengunjugi atau melawat, kaedah ziarah juga adalah salah satu kaedah Rasulullah SAW menyampaikan ajaran Islam. Pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam Negeri selain melaksanakan kelas secara berpusat perlu melakukan ziarah terhadap saudara baru secara berkala atau memaklumkan kepada orang yang berautoriti seperti imam agar menziarahi saudara baru yang tinggal dikawasan mereka. Perkara ini juga perlu dilakukan oleh setiap umat Islam yang menyedari kehadiran saudara baru dimana sahaja sama ada di tempat kerja, kawasan kediaman, tempat belajar dan sebagainya. Untuk memastikan aktiviti ziarah ini diambil perhatian oleh umat Islam, pihak berwajib perlu memainkan peranan agar menyeru umat Islam malaksanakan pendekatan ini melalui media massa sama ada media cetak atau elektronik. Dengan wujudnya kesedaran dikalangan umat Islam barulah aktiviti ini akan berjalan seterusnya dakwah Islam terus berkembang.
Melalui aktiviti ziarah, saudara baru akan lebih mudah mempelajari agama Islam sama ada secara langsung atau tidak langsung. Ini kerana, melalui aktiviti ziarah hubungan saudara baru dengan orang Islam menjadi rapat dan memudahkan saudara baru berkongsi masalah berbanding melalui kelas formal yang mana kebiasaanya dibatasi perasaan malu untuk megemukakan persoalan. Selain itu, dengan wujudnya hubungan dengan orang Islam, saudara baru boleh mempelajari melalui pemerhatian hasil daripada hubungan dengan orang Islam, seperti dalam aspek adab pemakaian, penyediaan makanan dan sebagainya.
Selanjutnya kelebihan ziarah terhadap saudara baru ialah, dapat menghilangkan rasa disisih oleh keluarga penganut agama asal mereka. Dengan adanya aktiviti ziarah ini, saudara baru akan berasa dihargai dan berasa tidak tersisih dimana pada waktu itu mereka amat memerlukan bantuan dan semangat terutama daripada aspek emosi. Oleh itu, semua pihak haruslah mengambil peranan masing-masing untuk menjalankan aktiviti ziarah terhadap saudara baru bagi memperkasakan saudara baru dan mendaulatkan agama Islam amnya.
Saudara baru umpama duta kecil dalam agama Islam kepada bukan Islam yang lain. Dengan mantapnya golongan ini boleh menjadi penyebab golongan bukan Islam tertarik kepada agama Islam. Walaupun statistik menunjukkan bilangan saudara baru meningkat setiap tahun di Malaysia, jumlah itu masih kecil jika dibandingkan dengan negara lain khususnya negara Barat, perkara ini mungkin disebabkan kurangnya perhatian masyarakat terhadap golongan saudara baru menyebabkan bukan Islam kurang tertarik memeluk agama Islam.